Rabu, 10 Oktober 2007

Teknologi Fiber Pacu Negara


Oleh Afiq Hanif

Capaian jalur lebar di Malaysia yang semakin meningkat dengan teknologi fiber dijangka memacu negara untuk mendapat akses multimedia lebih pantas sama ada di rumah atau tempat kerja.

Kebaikan utama teknologi fiber termasuk membenarkan internet diakses dengan kelajuan optikal manakala kos operasinya lebih murah selain capaian terbaik dan selamat.

Timbalan Pengarah Penyelesaian Strategik dan Perkhidmatan Maklumat, Allied Telesis Asia Pasifik, Kelvin Chua, berkata fiber adalah teknologi masa depan yang mempunyai jangka hayat sehingga 100 tahun selain kapasiti tanpa had.

“Lanskap jalur lebar berubah pantas selari peningkatan aplikasi ‘bandwidth’ tinggi seperti rakaman video secara langsung. Karaoke ‘online’, ‘webcast’, permainan online dan ‘podcast’.”

“Permintaan seperti ini meningkatkan permintaan bandwidth lebih tinggi kerana pengguna mahu fail multimedia lebih berkualiti dan muat turun pantas,” katanya.

Menurut Chua, kebanyakan pengguna mula mencari teknologi baru yang mampu menggantikan penggunaan tembaga sedia ada kerana ia mempunyai kapasiti terhad untuk membawa aplikasi bandwidth tinggi.

“Di Malaysia, potensi teknologi fiber untuk berkembang sangat baik dengan peningkatan celik jalur lebar sekitar 3.7 peratus daripada 100 penduduk, pasarannya (fiber) pasti hebat,” kata Chua.

Teknologi fiber membolehkan penggunaan aplikasi perkhidmatan video kualiti tinggi seperti televisyen definisi tinggi dan telefoni video menjadi pantas.

“Bayangkan teknologi fiber membolehkan muat turun filem berkualiti dengan fail sebesar 30 gigabait mampu dilakukan dalam masa 40 minit berbanding lapan jam sebelum ini menggunakan teknologi diperbuat daripada tembaga,” katanya.

Tiada ulasan: